Friday, August 26, 2011

Mengapa kursus kahwin tak sesuai pergi BERDUA dengan pasangan anda?

Sebenarnya satu lagi impian aku tak tertunai selepas impian ingin berkahwin pada umur 25 termusnah sebab aku lagi sebulan akan berumur 26 tahun. Sungguh tidak logik untuk aku bernikah dalam masa sebulan ini. Impian terkini yang telah musnah adalah ingin pergi kursus kahwin selepas bertunang bersama-sama tunang. Alasannya pada satu masa dulu ialah supaya input yang diterima oleh ustaz didengari oleh kedua-dua pihak maka tiada perbalahan di kemudian hari. Kunun la.

Akhirnya aku memang pergi ke kursus kahwin selepas bertunang tetapi ditemani oleh adik aku yang juga gatal hendak bertunang. Sila memberi sokongan kepada beliau.

Maka, entri ini diwujudkan untuk mengatasi perasaan sedikit sedih kerana impian ini juga tidak tercapai.

Mengapa kursus kahwin tak sesuai pergi BERDUA dengan pasangan anda?
1. Pergi dengan adik ataupon kawan perempuan lagi best kerana kita boleh makan dengan banyak semasa rehat makan tengah hari. Juga hanya perlu mengambil makanan untuk diri sendiri dan tidak perlu risau jika kita tidak berapa nak ayu. Sang bakal isteri yang datang kebanyakannya akan mengambil makanan untuk sang bakal suami manakala sang bakal suami hanya duduk bersila di hujung penjuru menunggu juadah dari sang bakal isteri. Keadaan ini janggal di mata saya yang sepet ini. Sila bersabar, kalian belom berkahwin. Tidak perlu menunjukkan sifat isteri solehah di hadapan ustaz yang menganjurkan kursus kahwin itu.

2. Apabila pergi bersama adik kita, adik kita boleh membawa bekal kek coklat. Sangat bahagia apabila kita boleh turun makan kek di dalam kereta. Kalau dengan pasangan mesti malu sebab gigi kita akan mempunyai tompok-tompok kek. Apatah lagi kalau ia kek coklat. Sungguh tak ayu. Mungkin pasangan kita tak sampai hati nak beritahu yang gigi kita kelihatan rongak.

3. Apabila ustaz mencerita unsur-unsur memalukan di dalam ceramah, kita akan relek je sambil bergelak ketawa bersama adik kita di sebelah. Terasa macam dengar ceramah agama kat masjid je. Lebih relek dan fokus. Kalau bersama pasangan sehati sejiwa mestilah diiringi unsur-unsur intai mengintai dan jeling menjeling sambil tersenyum-senyum kesipuan. Mungkin ustaz di hadapan semakin lama semakin berceramah dengan diri sendiri.

4. Apabila ustaz mengutuk pasangan lelaki atau pasangan perempuan di dalam bilik ceramah tersebut, kita tak kan terasa pon sebab pasangan kita tak ada pon kat situ. Tak adalah bengang dengan ustaz tersebut sebab dengan selamba mulut beliau mengutuk pasangan kita di hadapan kita dan semua orang.

5. Ketika ujian boleh berbincang dengan adik kita di sebelah. Kalau tak tahu pon tak adalah tebal muka sangat sebab kita sedarah sedaging. Kalau berbincang dengan pasangan mesti malu semalu malu nya apabila rukun islam pon masih terkial-kial menekanya.

6. Hati gembira kerana boleh pulang ke rumah dan terus tidur.

Sekian dari saya yang berkurun lama ku rasakan cintaku padamu tidak menaip sesuatu di sini. Lantaran itu, saya jadi semakin serius. (Macam tak ada kena mengena. Heh!)

Thursday, July 14, 2011

Persediaan diri (I)

Hari ini aku nak buat entry agak dewasa sedikit ye. Walaupon kerja sebanyak-banyak nya sedang menanti. Tak apa, abaikan dulu.

Persediaan aku menjadi seorang isteri. (Mak aii, gatal pulak bunyi nya.)

Tingkatkan keyakinan diri
Aku adalah seorang yang tak berapa nak yakin diri tentang sesuatu yang aku tak terer. Contohnya memasak. Kalau ikut buku resepi sebijik-sebijik pon mesti aku ragu-ragu. Paling aku tak suka ayat dalam buku resepi ialah ayat "sediakan garam secukup rasa". Banyak mana secukup rasa itu? Satu sudu besar kah? Dua sudu besar kah? Sangat tak spesifik. Tertekan. Dan kalau dulu tolong makcik-makcik kat dapur, aku mesti tukang pergi amik barang punya. "Nisa, amik kan bawang 4-5 biji." Srius aku bingung. 4 biji ke 5 biji ni. Cakap tak nak clear. Memang tertekan. Oleh itu, aku akan cuba lebih memberi keyakinan kepada diri aku sendiri dengan membubuh garam secukup rasa hati aku dan mengambil bawang sebanyak sendiri suka. Tak payah nak pening-pening 5minit pikir jawapan yang sebenarnya.

Dengar kata hati
Aku selalu was-was dengan kata hati sendiri. Kata hati ialah lebih kepada perbincangan hati yang logik. Contoh, kalau dah nampak orang potong rumput, janganlah mengada-ngada nak parking semeter jauh sikit je dari pemotong rumput tersebut. Itu bengong namanya Nisa.

Banyakkan ilmu kewanitaan
Ilmu kewanitaan di sini bermaksud ilmu memasak, ilmu potong bawang, ilmu siang ikan, ilmu mengenal daun kunyit, pokok serai, daun kari, halia, lengkuas dan sebagainya. Jangan nanti pergi rumah mak mertua bawang pon tak kenal. Perbanyakan juga ilmu topik-topik rumahtangga supaya kalau bersembang tak adalah ko ajak mak mertua ko bergosip tentang artis terkini.

Jangan menangguh kerja
Oh, sekarang memang tengah menangguhkan kerja dengan menulis entri ini. Oklah, sambung buat kerja yang banyak itu.

Sekian. Akan bersambung lagi kerana ia sungguh tak logik apabila hanya ada empat sahaja.


p/s: Baru empat dah rasa banyak. Cane ni?

Tuesday, July 5, 2011

Saya yang suka berlakon di hadapan orang.

Saya baru sampai di usm.

Saya tak larat nak kemas barang.

Saya nak tidur.

Saya tak suka tulis entri pendek kunun-kunun macam twitter. Tapi saya buat jugak.

Sebab saya mulai bosan.

Esok kena jalan kaki pergi skul.

Buat muka konon gembira sangat.

Balik bilik jalan kaki singgah halim beli makan malam.

Sampai bilik pukul 5.30 petang dan makan nasi seorang diri.

Maaf jika bunyi nya sangat pathetic.

Saya jiwa kacau.

Saya nak balik rumah.

Main dengan putih yang makin gemuk itu.

Dan makin menjadi ganas menggaru perabot emak saya.

Sehingga saya selalu memarahi nya sambil menjentik telinga beliau.

Putih itu kucing saya selepas Chombee menghilangkan diri.

Kadang-kadang selalu terpanggil Putih itu Chombee.

Semoga beliau tidak kecil hati.

Putih yang seakan perangai anjing. Baling bola kertas dan beliau akan menggonggong nya kepada si pembaling dan minta di baling lagi. Itu ciri-ciri anjing. Bukan kucing.

Nasib baik beliau kuat mengiau. Maka saya yakin beliau kucing.

Tidak perlu disamak.

Monday, July 4, 2011

Electric Train Services

Aku ke kuala lumpur balik hari dengan menggunakan perkhidmatan awam. Bangga gila. Poyo.

Mengapa aku berbangga dengan kejayaan ini? Siap jadikan ia sebagai kejayaan tuh. Ayo~ 

Kerana, ia adalah pertama kali dan ia adalah tidak normal bagi aku yang kurang menggunakan perkhidmatan awam di Malaysia apatah lagi luar Malaysia sebab aku passport pon tidak ada. Apa kena mengena?

Keluar dari rumah pada pukul 9 pagi, berkejaran ke stesen keretapi batu gajah dengan sangat laju. Dari lumut ke batu gajah memakan masa sejam dan lebih. Aku sedikit cuak kerana tiket adalah pada pukul 10.10 pagi dan tiket masih tidak dibeli. Aku tidak berani melihat jam di handphone kerana aku akan lebih cuak dan itu merupakan satu tindakan tidak bijak langsung. Tindakan tidak bijak langsung itu merujuk kepada tidak melihat jam di handphone. Aku hanya berpandukan jam digital di dalam kereta. Hati aku kembali tenang apabila jam digital tersebut menunjukkan masa masih awal. Mengapa perlu rungsing. Dan di situ lah tindakan tidak bijak langsung itu berlaku. Ia kerana jam digital kereta adalah lambat kira-kira 10 minit. Sungguh hampeh apabila ia hanya tersedar pada pukul 9.54 pagi dan bumbung stesen keretapi masih tidak kelihatan. Nafas tersekat.

Sesampai di stesen keretapi batu gajah, jam di stesen yang sememangnya tepat kerana telah diselaraskan dengan semua stesen keretapi bersama-sama keretapi nya sekali menunjukkan jam 10.04 pagi. Aku bertambah cuak kerana di depan masih ada tiga orang beratur dan system down. Penjual di kaunter agak mengambil masa kerana beliau perlu menulis secara manual di dalam borang. Keadaan sangat genting.

Akhirnya tiba giliran aku yang cuak.

"Kak, ETS pergi kl sentral ada?" tanya aku dengan nafas tersekat-sekat. Tapi kakak kaunter tu tak nampak sebab aku berlakon.

"Ada. 10.10 pagi"

Lega. Pernafasan kembali normal.

"Dua ye" Sambil tersengih dan menunjukkan jari best. Tapi kakak kaunter tu tak nampak juga sebab jari best itu hanya imaginasi aku sahaja.

Seperti yang diberitahu, aku bukanlah seorang yang selalu menggunakan perkhidmatan awam malah tidak terer. Oleh itu, aku sangat tidak kool semasa berada di dalam ETS. Macam budak empat tahun yang duduk di depan aku lagaknya. Terjenguk-jenguk dan terkagum-kagum. Sangat tidak kool. Selepas ini aku akan lebih beringat supaya menjadi lebih kool.

Disebabkan terlampau tak kool, di sini aku akan memuji-muji perkhidmatan ETS yang sangat memudahkan diri aku yang tak kool tapi best. Bagilah can menyejukkan hati sendiri dengan memuji diri sendiri best. Muahahaha. (Sejak bila ko gelak camtu?)

Bermula sesi puji melambung-lambung. Sedia?

ETS tersebut sangat laju. Halaju paling tinggi adalah 148km/j.

Tetapi semasa aku menaiki KLIA Ekspres dahulu lagi gayat. Sehingga hati berdebar-debar kegayatan.

ETS terasa lebih selamat kerana ia melalui kawasan kampung dan berbatu-batu, maka halaju nya lebih disesuaikan dengan keadaan sekeliling. Tak adalah ko redah belakang rumah orang yang betol-betol di sebelah landasan dengan halaju 148km/j. Mahu melayang atap zink dibuatnya.

Masa yang di ambil ETS dari saat berhenti di stesen-stesen sehingga bergerak kembali adalah dalam julat 2minit. Sangat tidak membuang masa. Janganlah risau kalau takut terlepas atau tersadung sebelum sempat keluar dari koc kerana setiap pintu akan di jaga oleh pekerja ETS yang berpakaian sangat kemas dan cantik. Mereka akan memastikan anda akan selamat keluar sebelum memberi tanda isyarat untuk menutup pintu dan meneruskan perjalanan.

Kerusi juga lebih selesa dan luas dari keretapi lama yang sempit sehingga menyebabkan pakcik sebelah anda seperti mengambil kesempatan menghimpit-himpit anda dan anda terasa hendak bertindak kurang ajar dengan memberi tendangan maut. Perasaan menyampah tidak boleh nak dihilangkan. Hanya mampu bersabar kerana pakcik itu bertongkat. Kalau di ETS masih ada pakcik seperti ini, lekuk sahaja beliau sambil berkata "Kerusi ni besar pakcik, sila jangan himpit."

Dan paling gembira adalah gegaran nya tidak terlampau terasa walaupon ia sangat laju. Apabila badan kurang bergerak ke kiri dan ke kanan, anda akan tidak terasa penat sehingga tidak mampu nak pergi makan kenduri selepas itu. Tak terasa jauh pon. Serius. Dan masa perjalanan dari batu gajah ke kl sentral adalah 2jam 20minit dengan harga tiket RM24 seorang. Dan macam buat promosi pulak rasanya.

Satu sahaja aku nak pesan iaitu jika ingin pulang pada hari itu juga, sila beli tiket siap-siap kerana masa hendak pulang tadi tiket sudah sold out sebelum pukul 3 petang lagi. Maka aku TERPAKSA pulang dengan menaiki bas pakcik-kerek-tak-best itu. Sangat berbeza perasaan naik bas yang memenatkan badan itu.

Kelebihan naik bas berbanding menaiki ETS adalah aku boleh mengambil bas terus dari lumut dan tidak perlu pergi ke batu gajah. Lumut tiada stesen keretapi.

Kesimpulannya, aku memohon jasa baik kerajaan untuk membina landasan keretapi dari lumut ke batu gajah atau terus ke kuala lumpur. Artikel ini diakhiri dengan ucapan terima kasih dari aku yang tak kool tapi best.

Friday, July 1, 2011

Tertekan diri sendiri

Aku sangat tertekan dengan handphone dan sim kad dan nombor talian aku iaitu celcom. Setiap sms yang masuk dapat di baca tetapi tidak dapat di balas. Setiap kali aku cuba membalas, sms hanya akan masuk outbox dan akhirnya gagal.

Sangat geram.

Mungkin aku kehabisan kredit, aku pon check baki dan ternyata ia masih berbaki lagi. Tapi mengapa tak boleh hantar sms? Mengapa????

Kemudian aku merasakan mungkin celcom salah dalam memaparkan baki kredit aku, maka aku memohon kredit advance. Malam sangat larut untuk keluar membeli topup di kedai serbaguna.

Tak boleh jugak.

Dia kata akaun aku tak aktif. Tak aktif?? TAK AKTIF???? Sambil menjerit kecil.

Ini bikin panas. Di tambah aku pernah dengar cerita kak eton yang nombor beliau selalu dituduh tidak aktif oleh celcom. Itulah, dulu bila kak eton cerita aku hanya senyum-senyum konon-konon comel. Bila dah kena diri sendiri, baru nak menyeringai mengalahkan hantu di hutan.

Mulut bebel-bebel membebelkan celcom. Terlebih geram ni.

Disebabkan penat membebel, aku pon tertidur awal dengan lena.

Keesokan harinya, aku bangun dengan ceria tetapi cuba untuk tidak memandang handphone di tepi bantal. Semasa membasuh pinggan dengan gembira, tiba-tiba terdetik sesuatu di benak fikiran ini.

"Entah-entah..."

Aku berlari pecut ke handphone yang dah bergulung sekali dengan selimut di atas katil.

Dan aku check sesuatu.

Ya, apa yang terdetik itu benar sama sekali.

Kredit saya sudah expired.

Muhahahaha...sila gelakkan diri sendiri.

Semasa saya (tiba-tiba menukar kata ganti diri aku kepada saya sebab saya sudah malu) membebel-bebel semalamnya, ada tiga orang yang saya melepaskan geram. Dan kepada tiga orang itu, anda dilarang membaca entri ini kerana saya sangat malu.

Pagi ini saya pergi membeli kredit untuk menambahkan tarikh sah sehingga sebulan lagi. Saya kembali gembira kerana boleh meng'sms'. Maafkan saya celcom kerana membebel-bebelkan anda walaupon anda tak mendengarnya.

Nasib baik saya tidak menelefon hotline celcom lagi kerana saya memang berura-ura hendak melakukan sedemikian. Hampir memalukan diri sendiri sedekad lamanya.

Monday, June 13, 2011

Madu dari si lebah (II)

Kalau orang kata aku terdesak nak kurus, memang aku akui. Hari-hari aku mesti meluahkan tentang nak kurus pada kak eton (masa kak eton ada dulu la..aiyak, rindu nak bebel bebel, gosip gosip, sesi meluah perasaan dengan kak eton). Hampir dua tahun permasalahan ini diulang-ulang. Nasib baik kak eton baik orang nya. Kalau tak mungkin mulut aku dah kena jahit. Mulut je macam terdesak, padahal usaha sangat ciput dan separuh jalan sahaja. Sangat menyedihkan.

Usaha nak kurus aku punya lah kedekut. Tak nak beli produk kurus yang mahal-mahal ni. Asyik ulang je nak pergi London Weight Management. Tapi aku sangat kenal diri sendiri. Sedalam-dalam hati aku ini aku tahu aku tak akan pergi sana. Mahal gila. Sah-sah i kedekut dan tak berapa nak kaya.

Ada jugaklah aku beli produk-produk yang tak melebihi RM10 ni. Kedekut pahit. Pertama, teh JioGulan yang tersangat tak sedap untuk melancarkan sistem aliran darah dalam badan. Kedua, fiber kat Cosway untuk melancarkan sistem pencernaan. Tak jalan untuk aku yang tak berapa nak rajin ni. Tak sampai sebulan dah berhabuk. Kadang-kadang aku terlupa pernah membeli produk tersebut dan apabila ternampak ia terperosok dalam almari, hati aku mesti terdetik, "eh, benda apa ni?". Tak ke sedih?

Ciri-ciri teknik kurus idaman aku ada tiga. Satu, nak kurus tapi tak nak berpeluh. Kedua, tak nak tahan makan, nak makan banyak dan sedap sedap. Ketiga, tak nak makan ubat kurus.

Setahun selepas itu, baru aku tahu teknik kurus seperti ciri-ciri di atas adalah tidak wujud sama sekali. Aku kecewa.

Akhirnya aku memilih untuk mengawal kadar pemakanan aku dalam sehari. Aku akan pastikan aku makan nasi sehari sekali sahaja. Dan nasi mestilah sikit. Sangat sikit sampai kadang-kadang lepas makan pon lapar. Tapi sabarlah wahai perut. Sebab aku tak sanggup nak mengorbankan lenguh-lenguh badan akibat berjogging. Biarlah perut aku lapar.

Teknik kurus ini bermula secara serius pada bulan September 2010. Dari September 2010 sampai Mac 2011, turun 2 kilo je. Ulangan DUA SAHAJA. 7 bulan ikat perut tapi DUA SAHAJA yang turun. Memang rasa nak baling je penimbang tu walaupon bukan salah beliau. Nak baling diri sendiri tak larat. Baling atas katil terus tidur pulak nanti. Dilema dilema.

Pada akhir Mac 2011, aku tergerak hati hendak meminum madu campur air setiap pagi tanpa gagal. Rujuk sini. Berat aku yang degil gila semakin menurut kata.

Dengan masih mengekalkan teknik yang lama iaitu mengawal kadar ambilan makanan, masuk bulan Mei, sudah hilang satu kilo. Dan sekarang bulan Jun, hampir sekilo lagi bakal menghilang.

Tiga bulan untuk DUA KILO. Sangat berbaloi berbanding 7 bulan untuk DUA KILO.

Ini kesan madu terbesar pada diri aku selain ia juga melancarkan lagi sistem pencernaan. Punya lah panjang entri, satu kesan je aku bagi. Ces..ces..untuk diri sendiri.

Kesan-kesan lain aku tak kaji lagi. Nanti setelah dikaji, aku akan beritahu secepat mungkin.

Akhirnya berjaya menghabiskan sambungan kedua untuk topik ini setelah berlambak-lambak entri lain yang masih tidak tersambung-sambung.

P/S: Ayat agak tunggang tungging sebab baru bangun dari tidur yang tak berapa nak nyenyak.

Monday, June 6, 2011

Saya sangat tak setuju dengan pandangan Dr. Rohaya Mohamed, naib president Kelab Isteri Taat.

Saya sangat tidak berpuas hati dengan berita di dalam Berita Minggu ahad lepas bertarikh 5 Jun 2011 yang bertajuk 'Layan macam pelacur', Isteri 'dingin' di ranjang punca lelaki cari kepuasan di luar di mukasurat 6 betol-betol selepas berita politik. Penting sangat berita ini nampaknya.

KUALA LUMPUR: Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Malah, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka sebaliknya beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Peringatan itu disuarakan Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan di negara ini, Dr Rohaya Mohamed.

“Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual. Lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang.

“Nafsu lelaki jauh lebih besar daripada wanita dan tidak boleh diketepikan. Daripada membiarkan mereka bergelumang dengan dosa, seorang isteri itu harus melakukan apa saja bagi memenuhi keinginan nafsu suami.

“Justeru, tanggungjawab kami adalah untuk membantu isteri menjadi lebih taat kepada suami. Seorang isteri hanya perlu memenuhi empat syarat untuk masuk syurga – menunaikan solat wajib, berpuasa ketika Ramadan, melindungi maruah dirinya serta taatkan suami,” katanya selepas majlis pelancaran kelab berkenaan di Kelab Golf Perangsang Templer dekat sini, semalam.
Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta, Indonesia pada 19 Jun depan. 

Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.

Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing. 
Kalau ikutkan hati yang membara-bara ni, memang ayat yang tak sedap keluar dari mulut saya. Tetapi kata-kata yang tak sedap itu hanya menjadi saya bertambah marah dan isi utama yang saya hendak perkatakan tidak dapat disampaikan dengan jayanya.

Pertama, mengapa akhbar Berita Minggu hendak menrendahkan tahap maruah kualiti mereka dengan mengeluarkan cerita persis akhbar Harian Metro? Seperti yang kita maklum Harian Metro memang sangat suka menyiarkan berita-berita tentang seks, seks, seks dan seks. Adakah Berita Mingguan hendak mencari publisiti murahan kerana di bawah ruangan berita ini ada tertulis
Berikan pandangan anda di BERITA MUTAKHIR(www.bharian.com.my), SERTAI KOMUNITI BH(facebook.com/bhinline), IKUTI KAMI DI(twitter.com/bharianmy)
 Saya selak helaian demi helaian dan tiada berita lain yang Berita Minggu hendak mendengar pandangan pembacanya selain berita ini. Padahal ada satu berita yang sangat bagus dan lebih memerlukan perhatian umum iaitu Waspada makanan halal bercampur produk babi, Pembekal tamak abai hak pengguna Islam, langgar peraturan di mukasurat 10. Selang 4 muka dari berita yang saya sangat tidak puas hati itu. Patutlah saya dah lama sangat tak baca akhbar Berita Minggu atau Berita Harian atau Harian Metro.

Kedua, siapa Dr. Rohaya Mohamed ini hendak merendahkan dengan sehina-hinanya martabat isteri yang mulia dengan martabat pelacur? Tak kisah lah pelacur kelas pertama ke, kedua ke, ketiga ke, terakhir ke. Pelacur tetap pelacur.

Adakah telah dibuktikan semua suami curang disebabkan kegagalan isteri melayan kehendak seks suami?

Tiada.

Suami curang adalah disebabkan suami itu bukan seorang pemimpin dan ketua keluarga yang baik. Kalau pon suami tidak berpuas hati dengan layanan isteri, suami tersebut perlulah berbincang dan bermesyuarat dengan isterinya secara baik dan berhemah. Bukannya dengan marah-marah dan mencari kepuasan di luar. Dia memang bukan suami yang baik. Semestinya bukan.

Satu lagi yang membuat saya sakit jantung, paru-paru, usus dan segala organ dalaman apabila Dr. Rohaya Mohamed ini mengatakan lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang. 


Berdasarkan penyataan anda ini Dr. Rohaya Mohamed, mengapa pelacur masih juga banyak melacur di dunia ini? Mengapa lelaki-lelaki yang dikatakan suka sangat layanan pelacur tidak mengambil pelacur tersebut sebagai isteri? Sepatutnya semua pelacur sudah menjadi isteri orang yang melanggannya.

Hanya lelaki yang tidak baik menyukai pelacur kerana lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik dan wanita yang tidak baik adalah untuk lelaki yang tidak baik.

Adakah kita hendak menyerahkan masa depan kita wanita untuk lelaki yang tidak baik? Jawapan saya, tidak.


P/S: Editor akhbar,majalah perlulah lebih bertanggungjawab dalam menyediakan bahan bacaan untuk masyarakat.

Monday, May 30, 2011

Entri untuk Kak Eton (Kak Eton kena baca sampai habis sebab sangat panjang..Bersabarla~)

Hai Kak Eton!

Nisa ni.(buat-buat terperanjat tau)

Kak Eton nak pindah dah ek?

Lamanya nisa jadi rumet kak eton. Mmm..berapa bulan ye. 2 tahun 5 bulan kot.

Ingat tak kali pertama jumpa nisa? Nisa nyorok belakang vizy. Vizy yang tegur kak eton dulu. Nisa ni pelampau pemalu. Nisa nak cerita pasal kak eton kat sini. Siap bersedia ok?

Dup..dup..dup..

Kak Eton berdebar kan? Heh..heh..heh..(Gelak dengan gaya sedikit jahat)

Parti Islam Semalaysia (PAS) ??
Beberapa hari selepas nisa menjadi rumet kak eton, Nisa masih malu-malu kucing. Tersengih-sengih dan tersenyum-senyum sahaja yang mampu nisa lakukan. Sedih. Oleh itu, kak eton yang banyak bercerita dan nisa mendengar. Pada satu ketika dalam beberapa hari itu, kak eton ada memasang ceramah agama yang nisa tak ingat siapa penceramahnya. Ditambah pula dengan cerita-cerita kak eton banyak berkisar tentang politik di Malaysia ini. Tanggapan pertama nisa untuk kak eton ialah adakah kakak ni ahli PAS? Hmm...

Pecinta Bahasa Melayu
Pada hari ulang tahun kelahiran kak eton pada tahun 2009, kak eton belanja kak su, vizy dan nisa makan di Sg. Dua Char Koay Teow Telur Ayam Dibasuh. Masa perjalanan pulang, nisa pura-pura pejam mata kat belakang. Motifnya nisa sendiri pon tak tahu. Mungkin melayan perasaan kenyang makan percuma. Tiba-tiba nisa dengar kak eton bersembang dengan kak su berkenaan simpulan bahasa. Perbincangan yang unik untuk nisa yang tak berapa nak matang ni. Menurut kak eton dari pembacaan, semasa pakar-pakar bahasa melayu dahulu(kot) ingin menukar tulisan jawi kepada tulisan rumi, mereka ada terlepas pandang beberapa perkara sehingga menukar maksud sebenar. Contoh yang nisa ingat ada dua. Satu merah padam dan satu lagi melepaskan batuk di tangga.

Takrif 'merah padam' daripada kamus dewan edisi 4 ialah merah seperti bunga padma (bukan ketika marah)
Contoh 'merah padam'; "Wajah kak eton merah padam kerana berasa malu"
Ejaan 'merah padam' dalam jawi- مره فدم

Ejaan 'padam' dan 'padma' dalam tulisan jawi adalah sama iaitu فدم
Dari artikel yang kak eton baca, sampai sekarang kita menggunakan merah padam adalah ekoran dari kesilapan terjemahan padma kepada padam. Untuk pengetahuan, bunga padma adalah bunga refflesia.

Melepaskan batuk di tangga tu kena tanya kak eton sendiri sebab tak larat nak terangkan. Jujur sahaja Nisa, anda malas.Heh.

Berbalik kepada topik sebenar, nisa agak kagum dengan apa yang kak eton suka baca. Adalah sangat berbeza dengan nisa. Nisa suka baca gosip. Kan nisa dah cakap, nisa kurang matang.

Keesokan harinya nisa pergi ke skul dan bertemu kak murni dan fa. Mereka menanyakan hal tentang bagaimana personaliti kak eton. Nisa jawab, "mm..kak eton okey. Tapi kak eton suka bercakap tentang bahasa."

Adoi~

Terima kasih kak eton.

Semakin lama nisa kenal kak eton, baru nisa tahu kak eton bukan suka bercakap tentang bahasa tetapi kak eton memang kaya dengan fakta-fakta menarik.

Nisa tahu kak eton pon ada tanggapan pertama pada nisa. Terima kasih bertahan menjadi rumet nisa selama ini.

Terima kasih menjadikan nisa suka membaca. Wajib singgah di mana-mana kedai buku kalau pergi berjalan-jalan.

Terima kasih mengajar nisa tentang bagaimana hendak berkomunikasi dengan orang-orang tua, rakan yang lama tak berjumpa dan orang mengandung. Nisa srius tak tau. Pastu muka kelat je sebab tak tau nak tanya apa.

Terima kasih sentiasa menyokong nisa untuk kurus. Teman nisa pergi minum kat herbalife.

Terima kasih tolong nisa siapkan colloquium hari tu. Serta meneman nisa berjaga malam dan membelikan nisa makan tengah hari di kedai kelapa sawit. Sedap sangat.

Terima kasih makan nasi lemak kuning dengan nisa setiap hari Jumaat.

Terima kasih hantar nisa sampai pintu rumah setiap kali balik rumah walaupon kak eton kena patah balik rumah kak eton.

Terima kasih bersabar dengan nisa yang sangat kuat memBEBEL ini. Sangat tipu berbanding dengan mula-mula kenal kak eton yang kunun-kunun pemalu tu kan? Yang nyorok belakang vizy tu.

Terima kasih memperkenalkan banyak kedai makan yang sedap kat parit buntar. Makcik gagak, makcik nasi lemak taman sempadan, kedai bakso, gerai nasi lemak kuning kat nibong tebal, kedai makan bawal goreng kat juru dan banyak lagi. Dengan kak eton jugak nisa pertama kali memberanikan diri melangkah kaki masuk ke pintu kedai seoul garden dan manhattan fish market. Jauh sangat dari kebiasaan nisa iaitu pizza hut, mcd dan kfc. Sedih juga.

Terima kasih hantar nisa balik rumah untuk bertunang. Kalau tak ada kak eton, tak bertunang la nisa. Aiceh~

Kalau kak eton lihat nisa macam tak sedih, bukan bermaksud nisa gembira kak eton nak pindah. Cuma nisa terer berlakon. Tapi nisa memang betol-betol gembira kak eton dapat kerja kat Manjung. Dekat dengan rumah nisa. Boleh teman nisa pergi kedai pengantin kalau nisa balik bercuti. Kan kak eton kan?

Nisa doakan kak eton sukses di tempat baru (macam orang indonesia tak?). Nanti jangan lupa datang tidur bilik asrama baru yang macam hotel tu tau.

Bai kak eton~
Jangan lupa nisa k.

p/s: Sori ye kalau tak suka entri nisa. Kak eton pon pemalu macam nisa jugak.

Sunday, May 22, 2011

Dua puluh dua Mei dua ribu sebelas.


Harap bersabar sekiranya penulis blog ini banyak mengisi entri-entri beliau tentang persiapan perkahwinan di masa akan datang walaupon master tak habis lagi. Harapan penulis blog agar supervisor beliau dapat memaafkan keterujaan tentang perkara ini berbanding research beliau.

Yang ikhlas,
Beliau.

Monday, May 16, 2011

Madu dari si lebah (I)

Apabila mak dan kami adik beradik tak sihat, ayah akan memaksa kami minum sesudu besar madu. Anak-anak ayah sangatlah degil kalau setiap kali disuruh makan makanan berkhasiat ini. Baik  kurma, madu asli, madu habatussauda, madu tualang, dan berbagai-bagai lagi. Dahla degil, dengki nya lagi dasyat. Kalau aku dah tak dapat nak melarikan diri serta terpaksa makan madu, aku akan mengadu kat ayah sambil berkata,

"Ayah, Nani tak minum madu lagi" Sila baca dengan nada sangat kaki mengadu. Aku akan ulang dialog itu sampai ayah bersuara.

"Nani, makan madu." Kalau masih tak berjaya aku akan mengadu lagi.

"Ayah, Nani tak minum lagi." Gila punya dasyat ke'batu api'an aku. Nanti Nani akan berbisik-bisik dengan aku dengan nada tak puas hati.

"Along diamla." Maaf. Aku bukan kaki rasuah. Aku akan tetap mengadu.

"Ayah..ayah." Sambil mengoyangkan tangan ayah yang sedang baca surat khabar. "Nani tak minum lagi."

Akhirnya ayah dan Nani pon mengalah dengan aku yang tak nak kalah kalau mengadu. Nani pon minum madu  dan aku tersengih puas hati.

Kalau watak aku diganti Nani dan watak Nani diganti aku. Skrip dan situasi yang berlaku tetap sama. Masing-masing kuat mengadu. Mungkin sebab ayah sangat rajin melayan. Sangat rajin melayan perkara yang sama diulang berkali-kali. Susah nak cari seseorang yang dapat melayan aku yang suka bercakap dan bertanya perkara yang sama berulang-ulang kali seperti ayah. Aku suka bertanya berulang-ulang kali sebab kadang-kadang jawapan yang diberi tidak memuaskan hati. Bila dah dapat jawapan yang aku rasa kan betol, baru aku senyap. Tiba-tiba lari tajuk. Semula. Semula.

Kalau watak aku diganti Nani dan watak Nani diganti aku. Skrip dan situasi yang berlaku tetap sama. Masing-masing kuat mengadu.

Kenapa susah sangat untuk aku adik beradik memahami yang madu itu sangat banyak khasiat nya. Makanan yang disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Degil. Degil sangat.

Satu hari aku terfikir. Kenapa setiap makanan sunnah nabi seperti madu, kurma, air zam-zam, tak ramai yang suka. Ya, termasuk aku. Ada yang kata, "Lidah aku lidah melayu. Susah nak makan makanan arab." Tetapi Islam untuk semua. Bukan untuk orang Arab sahaja. Kalau begitu, untungla jadi orang Arab. Rugilah jadi orang Melayu. Hah..tiba-tiba jadi program Tanyalah Ustazah Nisa pulak.

Pendek cerita. Aku menganggap  perasaan aku tak suka rasa makanan sunnah nabi adalah kerana setan yang bisik. Bisik tak sedap la. Bisik lidah arab la. Bisik lidah Melayu la. Setan kan musuh kita yang nyata. Kenapa nak turut bisikan dia.

Dan akhirnya aku telah menjadi kurang degil. 
Akhirnya pada akhir bulan Mac yang lepas, aku tergerak hati hendak minum segelas air sejuk ditambah sesudu besar madu setiap pagi sebelum apa-apa makanan masuk ke perut. Alhamdulillah.

Oh ya. Selain ayah, Kak Eton pon berbuih-buih (blup..blup..) menyarankan aku memakan madu seperti beliau. Seperti menyiram air ke daun keladi. Aiceh.

Apa kesan air madu diminum setiap pagi pada diri aku?

Jeng..jeng..jeng.

Sila ikuti sambungannya satu hari nanti. Apa yang pasti, ia berita gembira. 

Jumpa lagi.


Tuesday, May 10, 2011

Jiwa nya kecil.

PERHATIAN!

Entry yang agak emosi dari aku yang lama tak hengat tak update blog. Hidup semakin mengikut rutin. Sampai tak ada masa untuk menggila.Ko umur pon dah tua. Ada hati nak jiwa remaja.Chait.

Entry bermula.

Hari ini hari jumaat. Aku nak balik rumah. Hostel tak ada internet. Kena pergi skul untuk guna internet. Nampak sangat la kalau ada internet kat bilik, skul pon terasa jauh. Sampai keyboard pc kat skul dah naik sawang. Serius.

Aku seorang anak sulung. Jiwa nya kecil. Siapa kata anak sulung jiwa nya besar. Tok sah percaya. Sensitif nya ya rabbi. Tak boleh kena marah. Kecik hati. Kecik-kecik dulu kalau kitorang adik beradik kena marah secara umum, memang aku la terasa lebih. Dok bilik tak mo keluar. Tapi kalau perut dah gila punya jamming, aku kalah la. Muka tak tau malu dok bersila menghadap masakan yang mak masak. Sampai aku kena perli baik punya dengan adik-adik aku. Agak tak malu jugak aku ketika itu. Macam sekarang malu sangat la kan.

Aku percaya setiap anak sulung begitu jiwa nya.

Kecil.

Entry berakhir.

Selamat Hari Ibu mak. Terima kasih kerana melahirkan saya ke dunia ini. Serta membesarkan saya sehingga saya menjadi lebih besar dari mak. Mak jangan salah paham. Ia bukan salah mak. Saya yang suka makan dan tidur dengan lena.

Entri ini tiada kena mengena dengan Hari Ibu. Carca marba la ko Nisa.

Wednesday, February 2, 2011

Selamat tahun baru 2011

Selamat tahun baru 2011...!!

Eh, dah lewat ke?

Aah la. Dah masuk bulan dua.

Isk..isk..

(Monolog poyo pada suatu malam yang hening.)


Disebabkan ini merupakan entry pertama pada tahun baru dua bulan ini, maka, isi nya perlulah meyelerakan. Nyum..nyum.. (Sah-sah nak cakap pasal makanan. Heh.)

Saya suka pulut.

Suka sangat.

Sangat suka.

Sangat-sangat suka.

Sangat-sangat-sangat suka. Over~

Cuba teka apakah makanan yang saya hendak ceritakan kali ini? Cepat-cepat siapa boleh jawab. Sila-sila.

- Mmm..pulut???
Yeay. Pandai sangat..!! Clap-clap.

Tiba-tiba rasa nak slap-slap diri sendiri.

Ayat serius murahan. Sedih tau~

Untuk mengelakkan lebih banyak ayat atau dialog atau monolog murahan, cerita akan diringkaskan. Padahal tak ada idea. Ceh.


Ceritanya bermula begini..
Pada 11 Januari 2011 yang lalu, aku, Kak Eton dan Fa buat ketupat daun palas dimakan dengan kari ayam yang sangatlah sedap. Dah la ketupat nya BANYAK gila. Sudah semestinya aku akan menyebok dalam proses anyam ketupat daun palas. Sememangnya jiwa seni ini tak dapat di tahan-tahan. Akhirnya aku dapat siapakan tiga ketupat secara lengkap tapi agak huduh. Fa dan Kak Eton masing-masing dalam 20 ketupat kot. Kira tiga tu banyak la untuk aku yang berseni ni. Bangga dengan diri sendiri. Bangga sangat.

Pulut sebelum masak dan ketupat sebelum anyam.

Hambik..sebesen pulut dah masak. Mula-mula tengok rasa nak pitam jugak.

Bubuh serunding pon ada.







Sekian cerita pulut kesukaan saya.

Agak tergopoh gapah dalam menghabiskan entri ini kerana bau durian di dapur sangat menguji kesabaran saya. Yeay..boleh makan tempoyak sebelum balik. Gembira~~